Macam biasa, buat-buat biasa.
26 Feb
Aku semacam keliru dengan jiwa melayu aku.
Hilangkah ia? Bertukar kah ia? Atau aku ini, lumrahnya tidak sama?
Aku membaca, aku baca penulisan melayu di ruang siber. Aku jenguk, kalau tidak puas, aku selongkar arkibnya. Aku teliti tulisan pertama mereka. Aku ulang video-video mereka di youtube. Dan aku masih tidak dapat meletak jiwa aku sama rapat dengan mereka — bila mereka menulis yang seni. Bila mereka meluahkan yang dari hati — ikhlas, tapi sukar untuk aku membayar harga yang patut.
Jadi aku membaca yang percuma, yang ringan-ringan, yang kelakar, yang penuh ketawa, yang kurang muhasabah diri, yang kurang cerita tuhan dan kepercayaan mereka untuk kembali, kerana malayu itu bangsanya bimbang, pada aku, untuk mati tanpa tuhan dalam hati.
Jadi aku ini, melayu yang bagaimana? Tiada tuhan dalam hati. Tidak benci, tidak sayang, tidak wujud, tidak percaya. Tidak berseni? Tidak melayu? Tidak percaya? Tidak melayu?
Aku semacam keliru dengan jiwa melayu aku. Berhari-hari, berhari-raya, beramah-mesra, bersaudara, makan lemang serunding kelapa, aku tiada masalah. Aku sukakan yang berkongsi, aku gemarkan yang bercerita, aku hormatkan yang tua dan muda. Tiada masalah.
Masalah jiwa melayu aku adalah ketuhanan, aku melayu yang tidak percaya, tiada tuhan dalam hati. Tapi masih ada gembira, tiada benci untuk yang percaya, tiada iri hati kalau betul mereka ke syurga. Tidak melihat serong yang bertudung bermain guitar, tidak melihat serong yang tidak bertudung ke surau bersujudkan tuhan. Tidak menyuruh mereka bertudung, tidak melarang mereka untuk bertudung.
Bukan aku tidak peduli, aku tidak beriman, sayang, tidak percaya ada taman cantik, kolam api dan tuhan adil, sebelah sana.
Jadi aku hidup tanpa iman, tanpa percaya akan tuhan — selesa, sama gembira, biasa saja, tidak risau jika esok hari aku mati tiada tuhan dalam hati.
Firdauz tidak pedulikah kalau kawannya jatuh ke nereka? Yang paling benarnya, dia tidak percaya. Firdauz tidak pedulikah kalau tidak ke syurga? Yang paling benarnya, dia tidak percaya. Firdauz tidak pedulikah yang kami percaya adilnya tuhan, indahnya syurga dan azabnya neraka? Yang paling benarnya, dia tumpang sepenuh gembira, sepenuh gembira untuk kamu yang masih beriman.
Aku melakukan yang mungkar, bukan mahu diri di contohi, kerana iman dan mungkar itu, konteknya letak dalam agama.
Aku manusia tiada agama, tiada tuhan dalam hati, namun masih ada jiwa, ada perasaan, masih mahu appreciate kamu. Jadi aku membaca penulisan kamu di ruang siber. Masih mahu kamu teruskan, masih mahu kamu berjuang, masih mahu kamu ke syurga, masih mahu kamu agungkan Pencipta.
Jadi aku selalu berdiam, bila melewat ke tulisan kamu. Iya, aku baca tulisan kamu. Aku melihat video-video kamu. Aku tahu kamu juga baca tulisan aku. Kita diam sama-sama? Sayang sama-sama?
Kerana aku tidak tahu, jika aku masih diterima masyarakat melayu, atau majoritinya, maka aku selalu diam membaca. Tidak komen, masih membaca.
Dan mengapa aku tulis tentang melayu? Mengapa tidak disertakan Cina dan India dan seluruh rakyat Malaysia atau satu dunia? Kamu racistkah Firdauz. Kerena entri ini khas, aku tujukan untuk kamu, penulis seni cerita pendek dan puisi yang berlagu, pemain gitar baju kurung, si penyair yang kini sudah bertudung, yang masih gentar dan cintakan Pecipta.
Cinta kita tak mungkin sama. Jadi aku melihat sahaja, berkongsi gembira, macam biasa, dari jauh. Macam biasa, macam hari bintang jatuh.
Macam biasa, buat-buat biasa. (Walaupun tulisan kita sentiasa berbeza ideologinya, kita saling menyentuh yang paling dalam, bukan?)



































Recent Comments