Surat terbuka : Kehadapan Polis Diraja Malaysia,

10 Dec

Saya, Firdauz, baru sahaja selesai diragut. Syukur, peragut itu tidak berjaya meragut bag saya yang mengandungi (1)sebuah laptop, (2)pensil tekan-tekan, (3)semua dokumen penting, (4)kerjaya, (5)cita-cita, (6) berus gigi dan (7)senaskah buku dan majalah, kerana saya pantas menarik bag tersebut. Saya cuba kejar, dan lari sekuat hati, tetapi peragut itu (mereka berdua, lelaki memandu, perempuan membonceng) bawak motor lari laju-laju! Oh, celaka. Maafkan saya kerana berkata kasar. Tetapi mereka, lelaki dan perempuan itu penjahat rempit! Maafkan saya lagi.

Ini kejadian kedua yang berlaku kepada saya. Kejadian pertama sewaktu saya masih seorang pelajar universiti. Tahun 2002 mungkin. Saya report polis, seperti biasa, tiada dengar follow up pun? Nombor telefon ada bagi. Alamat pun ada, semua lengkap. Nombor plat peragut pun saya bagi.

Untuk kes kecurian sahaja, saya sudah pergi ke balai polis 3 kali (Brickfields, Dang Wangi, Cheras). 2 kali meneman teman wanita (bukan teman wanita yang sama) kerana kes ragut, 1 kali kerana saya menyaksikan kes pecah masuk pejabat, sewaktu saya bekerja di syarikat lama tahun 2006.

3 kali sudah, kini saya merajuk untuk buat report polis. Semuanya kes kecurian. Mungkin saya sedikit hampa, dengan hari-hari membaca berita dengan kes ragut — jarang didengar kes yang selesai — curi sana-sini, ada yang mati, ada yang mengangis, ada yang cedera ringan (termasuk teman wanita saya yang cedera lehernya diragut rantai emas), ada yang cedera parah.

Maka saya, tulis sahaja di blog. Dengan harapan, ada polis baik hati yang lebih dedikasinya terhadap rakyat yang menjadi magsa ragut dan curi dan rompak dan rogol dan bunuh dan culik dan semua jenis jenayah yang berlaku makin kerap saban hari, untuk sedar dan lebih prihatin tentang 3 perkara :

1) Setiap rakyat Malaysia, kenal sabahat rapat atau ahli keluarga terdekat yang telah diragut, atau rakyat itu sendiri telah diragut.

2) Seperti jenayah lain, ragut juga boleh dibenteras. Dan dikurangkan kadarnya.

3) Rakyat yang leka, atau ekonomi negara, atau mana-mana isu remeh, bukan penyebab utama jenayah. Penyebab utama jenayah makin berleluasa adalah peluang untuk malakukankannya, dan peluang untuk berjaya lari dari ditangkap. Kedua-dua peluang ini masih tinggi. Masih selamat untuk penjenayah meragut. Risiko untuk ditangkap, tipis.

Maka, tipiskan peluang untuk jenayah berleluasa. Tinggikan risiko untuk ditangkap jika meragut. Tingkatkan keselamatan rakyat. Kurangkan alasan.

Cara-cara yang saya sarankan.

1) Duduk dalam semak (sama macam bila nak saman pemandu yang tidak memakai tali pinggang keledar dan speed trap), perhati kawasan ‘panas’. Kenali peragut. Tidak mustahil sama sekali. Setiap tempat ‘panas’ ragut, ada tempat yang sesuai untuk menyorok. Jadi, menyorok. Ambil giliran menyorok. Kenali peragut.

2) Bila peragut telah dikenali, tangkap mereka. Sama ada dengan pistol atau tidak, tangkap peragut.

Selalu saya nampak polis menyorok dalam semak untuk speed trap dan kesalahan lalu lintas yang lain. Polis cekap menyaman pesalah jalanraya. Kenapa tidak guna kecekapan yang sama untuk tangkap peragut? Benteras jenayah ragut. Ianya tidak mustahil sama sekali. Tidak perlu ada alasan. Polis Malaysia cekap sebenarnya. Hampir semua pemandu di Malaysia pernah disaman. Setahun, beribu-ribu saman dikeluarkan. Ini fakta. Semua rakyat tahu. Semua rakyat tahu polis cekap menangkap pesalah jalan raya, — hampir semua rakyat pernah di saman untuk kesalahan jalanraya — dan dedikasi pihak polis dalam menangkap pesalah jalan raya.

Maka, dedikasi yang sama perlu ada dalam membenteras ragut. Tidak perlu alasan remeh.

Yang benar,

Firdauz yang baru diragut. Untuk kedua kali, dan masih tidak mendengar sebarang berita untuk 3 report polis (Brickfields, Dang Wangi, Cheras) bagi kes kecurian dan pecah masuk yang telah difailkan pada tahun 2002, 2006, 2009.

4 Responses to “Surat terbuka : Kehadapan Polis Diraja Malaysia,”

  1. michellezyenn 10. Dec, 2009 at 8:08 am #

    *Mengeluh* nasib baik u ok, ganasnyer u nak kejar lagi mat rempit and minah tu…

    erm… nak tengok video?

    http://www.youtube.com/watch?v=UGaTfGHELV4

    dedikasi ku bagi u.

  2. Tan Yee Hou 10. Dec, 2009 at 11:49 am #

    abang tau boleh pergi jpj cakap mau semak sejarah sebuah kenderaan kerana nak beli kereta tersebut.

    kasi rm20 boleh dapat alamat kenderaan tersebut. jika you dapat cari rumah itu, kantoilah budak itu kan?

  3. Firdauz takes 5 10. Dec, 2009 at 4:20 pm #

    michellezyenn : cute video. =)

    Tan Yee Hou : didn’t know that! the one in 2002 i managed to get the plat number but not last night.

  4. polistrg 08. Jan, 2010 at 12:03 pm #

    salam…
    saya baru terbaca kisah saudara di sini.memang ada kelemahan di pihak polis jika di baca melalui kisah ini.saya di pihak polis memohon maaf atas kelewatan tindakan tersebut.namun, memandangkan tenaga kerja yang terhad dan beban tugas yang semakin mencabar dari hari ke hari, kami di pihak polis semakin sukar untuk menjalankan amanat dan tanggungjawap yang di beri terutama kes-ks yang berlaku di kawasan-kawasan besar seperti di kawasan anda. walaubagaimanapun, tindakan tetap di ambil cuma kesimpulan di akhir tindakan tersebut tidak dinyatakan.

    sedikit info untuk anda.pihak polis terengganu buat masa sekarang merupakan kontinjen yang terbaik dari segi penyelesaian kes dan penurunan kadar jenayah bagi tahun 2009. dan bahagian narkotik kontinjen terengganu juga telah terpilih sebagai narkotik terbaik malaysia.

    walaupun terengganu adalah negeri yang kecil, namun kadar yang di ambil untuk mengukur prestasi adalah dari segi peratusan. ini bermakna penurunan tersebut adalah adil berbanding dengan negeri lain.

    apa yang saya ingin tekankan di sini adalah, pihak polis sebenarnya berusaha untuk menurunkan kadar jenayah. tetapi kerja sama dari orang awam amat diperlukan. terima kasih.

Leave a Reply